online

Sunday, November 20, 2011

Liputan Malaysian University Duathlon Series(MUDS) 2011

UM, 15 Okt - Kekecewaan pada siri pertama kejohanan di tempat sendiri bukanlah penghalang bagi atlet-atlet Kelab Sukan Lasak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM) untuk mengekalkan kejuaraan dalam kejohanan Malakoff Malaysia University Duathlon Series (MUDS) edisi 2011. Dengan berpegang teguh pada moto “NO PAIN, NO GAIN “, para atlet Kelab Sukan Lasak UPNM berjaya mengekalkan dominasi dalam setiap kategori yang dipertandingkan pada kejohanan MUDS edisi kali ini, sekaligus menafikan cabaran daripada universiti lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan membawa pulang kesemua trofi yang dipertandingkan iaitu Best University Awards ,Top University Awards, Men Duathlete of The Year dan Women Duathlete of The Year.

Bagi atlet-atlet sukan lasak IPT tempatan, kejohanan yang melibatkan dua disiplin ini iaitu belari sejauh 3.5km, berbasikal sejauh 11.4km, dan diakhiri dengan larian sejauh 3.4km merupakan medan untuk mereka beradu tenaga dan bersaing antara satu sama lain. Kejohanan Malakoff Malaysia University Duathlon Series (MUDS) pada edisi kali ini membawa cabaran kejohanan ini dengan mengekalkan UPNM sebagai tuan rumah siri pertama, Universiti Putra Malaysia(UPM) selaku tuan rumah siri kedua dan Universiti Malaya dipilih sebagai venue siri akhir kejohanan.

Mata kemenangan bagi ketiga-tiga siri tersebut akan dikumpul dan pada siri terakhir, universiti dengan jumlah mata terkumpul yang tertinggi akan dinobatkan dengan Best University Awards manakala trofi Top University Awards dianugerahkan kepada universiti dengan jumlah penyertaan yang teramai. Bagi anugerah individu pula, Men Duathlete of The Year dianugerahkan kepada atlet kategori Lelaki Universiti dengan mata terkumpul yang tertinggi manakala Woman Duathlete of The Year dipertaruhkan kepada atlet terbaik bagi kategori wanita universiti. Acara individu yang dipertandingkan antaranya ialah kategori lelaki universiti, wanita universiti, lelaki terbuka dan wanita terbuka. Manakala acara berpasukan yang dipertandingkan ialah relay Lelaki dan juga relay campuran.

Kejohanan edisi pertama telah dilangsungkan di UPNM sendiri dengan kerjasama Unit Sukan Bahagian HEPA yang dilangsungkan pada 24 September 2011. Atlet dari Universiti Teknologi Malaysia(UTM) mengejutkan atlet tuan rumah apabila merampas tempat teratas podium bagi acara lelaki universiti dengan Ong Wei Xiang membolot tempat pertama diikuti rakan sepasukan Gan Shih Chau di tempat ke-2, atlet UPNM – Pegawai Kadet Chan Jun Shen meraih tempat ke-3 diikuti dua lagi rakan sepasukan, Pegawai Kadet Muhd Amirul Hafiz Aman tempat ke-4 dan Muhammad Tarmizi Zulfika Ismail di tempat ke-5.

Bagi kategori wanita universiti,UPNM mendominasi tempat pertama hingga ke-4 dengan Pegawai Kadet Nurasyikin Masri muncul sebagai johan diikuti oleh Noor Fitrah Md sebagai naib juara, Zurul Afinaz Zamani di tempat ke-3 dan Nor Asmidar Zukipli ke-4. Manakala bagi kategori relay, UPNM membawa pulang kesemua pingat yang dipertandingkan apabila berjaya memenangi tempat pertama, ke-2 dan ke-3 bagi kedua-dua acara relay lelaki dan campuran. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan sendiri oleh Yang Berbahagia Naib Canselor, Lt Jen Dato’ Wira Al-Latif bin Mohd Noor.

Siri kedua kejohanan pula telah berlangsung di UPM, Serdang pada 1 Oktober 2011. UPNM melakar kejayaan gemilang apabila mendominasi tempat di podium bagi acara-acara yang dipertandingkan. Bagi acara lelaki university, Chan Jun Shen kali ini tampil merampas tempat teratas podium dari pencabar terdekat, Ong Wei Xiang dari UTM. Kejayaan beliau turut diiringi Muhamad Amirul Hafiz di tempat ke-3, Suhaime Shukor ke-4 dan juga atlet pelapis Tarmizuka Zulfika ke-5.

Bagi kategori wanita universiti pula, peserta masih tidak berganjak dari kedudukan siri pertama dengan Nurasyikin Masri muncul sebagai johan diikuti oleh Zurul Afinaz Zamani di tempat ke-3, dan Noor Fitrah Md Saad di tempat ke-4. Bagi kategori relay pula, UPNM mengekalkan rentak cemerlang apabila kekal mendominasi kedua-dua acara relay lelaki dan campuran. Kemenangan berganda ini menjadikan pasukan UPNM meninggalkan pencabar terdekat dari kutipan mata iaitu UIAM jauh ke belakang.

Siri terakhir menjadi medan untuk menentukan siapakan yang bakal bergelar Men Duathlete of The Year & Woman Duathlete of The Year. Venue pertandingan di sekitar kampus Universiti Malaya tampak amat mencabar kepada para peserta khusunya bagi trek berbasikal yang menyajikan bukit yang terkenal sebagai ‘bukit cinta‘ sebagai taruhan mereka. Berbekalkan pengalaman dari dua siri sebelumnya, pasukan UPNM telah mengatur strategi dengan misi untuk membawa pulang kesemua trofi yang dipertandingkan.

Setelah saingan sengit berdurasi selama hampir 48 minit 52 saat, Muhd Amirul Hafiz terlebih dahulu tiba di garisan penamat diikuti rapat oleh Chan Jun Shen dan Tarmizi Zulfika. Ong Wei Xiang dari UTM terpaksa sekadar berpuas hati di tangga ke -4 diikuti oleh Suhaime Shukor dari UPNM. Bagi kategori wanita pula, Ashikin Masri tampil sebagai naib juara, diikuti oleh Noor Fitrah Md Saad ke-4 dan Zurul Afinaz Zamani menamatkan saingan di tempat ke-5.

Pasukan-pasukan relay UPNM pula masih tidak menafikan penguasaan mereka dalam acara relay yang dipertandingkan apabila sekali lagi mendominasi acara relay lelaki dengan pasukan UPNM1 yang dibarisi Abdul Mustaqim Abd Hadi, Ahmad Shafiq Shukor dan Mohd Amir memenangi tempat pertama, diikuti UPNM2 tampil naib johan dan UPNM di tempat ke-3. Bagi kategori relay campuran, pasukan UPNM Mixed 2 yang dianggotai – Teh Yong Le, Mohamad Hudha, dan Muhammad Faiq Zakwan diikuti naib juara, UPNM Mixed 1 dan ke-3, UPNM Mixed 2. Cubaan pertama menyertai kategori lelaki terbuka membawa tuah buat Mohd Aiman Bin Mohd Halim apabila muncul juara bagi kategori berkenaan sekali gus melebarkan penguasaan UPNM.

Seperti yang dijangkakan, gelaran Men Duathlete of the Year berjaya dipertahankan pegawai kadet Chan Jun Shen, mahasiswa tahun 4 Kejuruteraan Mekanikal yang juga merupakan atlet termuda yang berjaya menamatkan cabaran Ironman Langkawi sebanyak 3 kali. Manakala gelaran Women Duathlete of the Year dibawa pulang oleh Nur Ashikin Masri, mahasiswi tahun 1 Pengurusan Sumber Pertahanan. Kegemilangan UPNM berterusan apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan membawa pulang trofi Best University dan insentif sebanyak RM 3000 dan juga sebagai universiti dengan penyertaan teramai dan membawa pulang trofi Top University dan juga insentif RM3000.

Chan Jun Shen apabila ditanya mengenai resepi kejayaan pasukan mengatakan, “ Strategi dan kerjasama pasukan, selain latihan yang konsisten menjadi kunci kejayaan kami. Setiap kali berada di garisan permulaan, saya tidak pernah turun dengan keyakinan yang tinggi. Saya hanya berazam untuk melakukan yang terbaik. “ Tambah beliau lagi, kejayaan kali ini cukup bermakna apabila UPNM berjaya membawa pulang kesemua trofi yang dipertandingkan sekali gus mencapai target mereka tahun ini.

Atlet Kelab Sukan Lasak UPNM juga melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan mereka kepada Pusat Sukan UPNM, Akademi Latihan Ketenteraan(ALK) , dan juga pensyarah-pensyarah di atas sokongan padu dan galakan selama ini. Semoga semangat kesukanan akan terus mekar dalam diri setiap mahaiswa UPNM seterusnya melahirkan semangat juang yang tinggi untuk terus bersaing di persada dunia.